Sunday, November 24, 2013

Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2013 Peringkat Negeri Terengganu

Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2013 peringkat Negeri Terengganu ( Cegah dan Kawal Diabetes: Lindungi Masa Depan Kita) disambut pada 24 November 2013 bertempat di Perpustakaan Negeri, Padang Hiliran, Kuala Terengganu dengan meriah sekali dengan aktiviti padat dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang. Ianya bertujuan memberi pendedahan dan pendidikan serta kesedaran terhadap komplikasi diabetes kepada masyarakat. Semua wakil pejabat kesihatan daerah dan hospital daerah seluruh negeri hadir. Orang awam dan pesakit diabetes juga dijemput hadir. Kehadiran mereka kali ini amat menggalakkan sehingga dewan utama penuh sesak hingga membanjiri keluar.

Aktiviti pertama dimulakan dengan bengkel interaktif mengenai Penjagaan Kaki oleh Dr Ahmad Tajuddin Abdullah (pakar orthopedic) dan Ketua Jururawat Adibah Idris dari HSNZ. Pelbagai isu mengenai komplikasi kaki akibat diabetes didedahkan. Pesakit dinasihat menjaga kaki dari segi kebersihan, sentiasa bersenam supaya badan berpeluh bagi memberi kulit pesakit tidak kering, memakai sepatu atau kasut yang sesuai (tidak muncong A dan tapak tinggi), sentiasa memakai sepatu atau selipar walaupun dalam rumah agar kaki tidak kesejukan atau terkena benda tajam yang akan mencederakan.

Dr Ahmad Tajudin menerangkan pasal penjagaan kaki

KJ Adibah memberi tip penjagaan kaki
Dr Azlin menasihat pesakit agar makan ubat ikut peraturan
Ianya diikuti oleh oleh taklimat mengenai ubat-ubatan dan cara mengambilnya oleh Dr. Azlin bt Amat. Menurut Dr Azlin, terdapat berbagai jenis ubat untuk pesakit dan yang baik sekali ialah suntikan insulin. tetapi persepsi pesakit tidak begitu gemar suntikan insulin ini.

Bengkel selama sejam ini dirasakan terlalu singkat masanya. Di masa depan, mungkin masanya boleh dipanjangkan.

Sejurus selepas bengkel, diadakan pula forum Diabetes dan Anda. Forum ini juga telah dikhaskan masa selama satu jam juga. Panel forum ialah Dr Balkis Abdul Karim, Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Terengganu dan Datin Dr Zil Falillah Mohd Said (Family Medicine Specialist) dari Klinik Kesihatan Paka. Manakala moderator forum ialah Hj Wan Hassan Wan Ismail, Setiausaha Diabetes Malaysia Cawangan Terengganu. Forum menyentuh tentang diabetes dan komplikasi serta cara mencegah dan mengawalnya.

Majlis Forum: Diabetes dan Anda

Peserta forum asyik mendengar ucapan ahli panel


Selepas forum berakhir, ada satu lagi aktiviti iaitu pengakuan seorang pesakit diabetes, Puan Rohani binti Hamzah dari Marang yang menceritakan bagaimana dia berjaya membuat sesuatu sehingga kakinya tidak jadi dipotong. Pesanannya kepada pesakit diabetes ialah jaga makan, ikut arahan doktor dalam mengambil ubat.

Majlis Sambutan ini juga dirasmikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, YB Tuan Hj Zubir Embong. Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Hj Mohd dan Pengerusi Diabetes Malaysia cawangan Terengganu, Hj Wan Md Adnan Wan Ismail.

Majlis Perasmian

Persembahan Dikir Barat "Diabetes"

Sementara itu, di ruang legar perpustakaan, diadakan saringan kesihatan, pameran, penjualan minuman stevia serta kasut diabetes dan buku berkaitan.

Saringan Kesihatan
Pameran Komplikasi Kaki oleh Diabetes Malaysia Terengganu

Penjualan Kasut sesuai untuk pesakit diabetes. 
Kopi dan coklat keluaran Eversweet juga mendapat tempat di kalangan hadirin

Pada petangnya, demonstrasi makanan sihat telah diadakan. Menu yang disediakan oleh chef dari Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) ialah Nasi Oat, Ayam Jula Juli, Jus dan salad 1 Malaysia. Semua yang hadir diberi peluang untuk merasa  makanan yang telah disediakan.

Pengerusi DM Cawangan Terengganu (baju biru) bersama chef-chef setelah selesai majlis demonstrasi
Bahan bahan untuk  membuat Salad 1 Malaysia
Pinggan Sihat
Setiap peserta bengkel diberi "pinggan sihat" special oleh penganjur majlis. Pinggan kaca ini memberi indikasi porsi makanan yang harus disukat dalam pinggan iaitu 1/2 terdiri dari sayur-sayuran, 1/4 karbo (nasi/ubi/roti) dan 1/4 lagi protein (ikan/ayam...).

Sambutan hari Diabetes Sedunia 2013 yang dianjurkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dengan kerjasama Diabetes Malaysia Cawangan Terengganu telah mencapai tujuannya iaitu  memberi kesedaran betapa bahayanya penyakit diabetes kepada pengidap dan orang awam. Komplikasinya teruk sekali dan anggota badan yang terlibat dari hujung rambut (kepala)  hingga ke hujung kaki. Kita berharap di masa depan lebih ramai lagi orang awam akan dijemput untuk menghadiri majlis ini.

No comments:

Post a Comment