Friday, March 25, 2016

Seminar Modifikasi Perawatan Pesakit Diabetes di bulan Puasa


Seminar ini telah diadakan pada 24hb Mac 2016 di bilik seminar Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu. Seminar peringkat negeri ini dianjurkan oleh Unit NCD Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu. Lebih dari 100 peserta hadir yang terdiri dari pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat hospital dan klinik kesihatan dan wakil dari Diabetes Malaysia Cawangan Terengganu.

3 penceramah diundang khas untuk seminar ini. Mereka ialah Dr Nurul Majidah bt Abdul Razak (pakar perubatan HSNZ) yang membincangkan Practical Guide to Diabetes Management in Ramadan seperti siapakah kumpulan pesakit yang mempunyai risiko tersangat tinggi, sangat tinggi, sederhana tinggi dan risiko rendah untuk berpuasa. Adalah penting bagi pesakit mengetahui keperluan mengambil atau menyukat blood glucose, mengubah suai masa pengambilan ubat-ubatan dan insulin serta kurangkan dosnya mengikut arahan doktor.


Penceramah kedua pula, Puan Amie Eryana bt Watiman (dietitian HSNZ) menerngkan tentang Pemakanan Pesakit Diabetes di bulan puasa. Ini juga melibatkan waktu makan (seperti waktu berbuka puasa, waktu selepas solat maghrib, selepas solat terawih dan waktu sahur) dan komposisi makanan dan minuman. Terdapat 3 kumpulan makanan: yang perlu dielakkan (contoh gula, kordial, coklat, halwa, madu) ; yang bebas dimakan (contoh air kosong, sup kosong, kopi O, jus limau O ); dan yang perlu bersukat (contoh nasi, buah-buahan, sayur-sayuran, karbohidrat yang lain).

Penceramah terakhir ialah Dr Yogeswari Venugopal (Endocrinologist di HSNZ) memberi 4 senario pesakit dan menduga kepada peserta untuk menjawab beberapa soalan. Beliau juga memaklumkan bahawa terdapat Clinical Practice Guideline mengenai pengurusan diabetes yang telah dikeluarkan pada Nov 2015 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan boleh didownload dari  Internet.

Risiko yang jelas pesakit diabetes yang berpuasa  ialah hypoglasimia, hiperglasemia, ketoacidosis dan kekeringan air badan (dehidrasi). Kumpulan yang berisiko hendaklah diberitahu risiko tersebut dan membantu pesakit di dalam pengambilan pemakanan, senaman dan ubatan yang betul dan mengikut sukatan. Jika pesakit ingin berpuasa, doktor yang merawat hendaklah memberi nasihat dan kaunseling agar risiko yang dimaksudkan itu dapat dikurangkan atau tiada sama sekali melalui pengambilan ubatan, pemakanan yang terkawal, masa makan yang berjadual serta senaman yang sesuai.

Dr Yogeswari juga mengingatkan setiap pesakit hendaklah mempunyai blood monitoring device (glukometer) sendiri dan sentiasa merekod blood glucose masing-masing. Jika bacaan gula dalam darah <3.9 mmol/L atau >16.7 mmol/L, pesakit dinasihatkan berbuka puasa. Target baru HbA1Cuntuk kumpulan pesakit warga emas ialah antara 7.0% hingga 8.5%. Bagi perempuan yang mengandung yang menghidap diabetes, mereka hendaklah mengawal makan, kawal pengambilan gula dan karbohidrat serta patuh kepada pengambilan ubat dan insulin seperti diarah oleh doktor.

Berikut gambar gambar yang sempat dirakamkan.

Dr Yogeswary
Peserta
Puan Amie
Dr Nurul Majidah
Peserta
Peserta
Peserta

Diabetes Malaysia Cawangan Terengganu mengalu-alukan seminar ini dan sesuai dengan masanya.
Semoga maklumat yang disampaikan dalam seminar ini bermanfaat kepada peserta.