Thursday, December 26, 2013

DM Terengganu memberi khidmat di Permint Jaya, Chendering

Pada 14 Disember 2013 yang lalu, Diabetes Malaysia Cawangan Terengganu  (DM CT) telah menjalankan satu khidmat masyarakat di Padang Taman Permint Jaya, Chendering, Kuala Terengganu. Program adalah program bersama KRT Permint Jaya dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

DM CT telah dijemput oleh penganjur untuk menjalankan saringan kesihatan kepada pengunjung program tersebut. Pasukan DM CT diketuai oleh Hj Ahamad Ismail bersama-sama Sister Adibah, Pn Roslina, Pn Faridahani dan Pn Huriah telah menjalankan tugas dengan baik sekali.

Acara saringan kesihatan ini bermula pada 9.00 pagi hingga ke petang. Memandangkan hujan mencurah-curah menimpa kawasan Chendering masa itu, maka banyak aktiviti berjalan secara perlahan.

DM CT telah membuat banyak saringan terhadap pegawai polis dan seperti biasa ramailah yang mencatit glukosa dalam darah yang tinggi termasuk bos-bos polis! Mereka tidak sedar yang mereka juga mempunyai glukosa darah yang tinggi, petanda awal diabetes. DM CT menasihati mereka untuk menjalankan ujian diabetes di hospital dan klinik kesihatan berdekatan bagi membuat  pengesahan doktor sama ada mereka bebas diabetes atau sebaliknya.

DM CT akan meneruskan usaha serupa ini demi memberi kesedaran kepada orang awam tentang bahaya diabetes dan komplikasinya.

Saturday, December 7, 2013

Kem Diabetes Diabetes Malaysia Cawangan Terengganu 5-7 Disember 2013

Program Kem Diabetes anjuran Diabetes Malaysia Cawangan Terengganu telah berjaya diadakan pada 5-7 Disember 2013 di Scout Inn Resort, Teluk Ketapang, Kuala Terengganu. Seramai 45 peserta telah menghadirinya. Program berjaya diadakan berkat kerjasama dengan pakar-pakar perubatan dan pakar berkait dengan kesihatan.

Di antara pakar dan penceramah yang memberi syarahan atau taklimat ialah  pakar ortopedik (Dr Ahmad Tajudin), pakar nephrologis (Dr Zaiha Harun), doktor perubatan (Dr Siti Mariam, pengkhususan penyakit diabetes), pakar dietitian/pemakanan (Puan Maslina), fisiologis (En Zulkifli Mat Zin), ahli farmasi (Cik Amalina Amri), pakar optalmologis/mata (Dr Rasdi), dan para medik dari Hospital Sultanah Nur Zahirah dan klinik Kesihatan . Syarahan berbentuk interaktif ini sangat baik bagi membantu peserta di dalam memahami diabetes,  komplikasinya, cara mencegah dan mengawal diabetes, penjagaan kaki, penjagaan makanan, keperluan senaman dan jenis dan cara senaman, jenis ubat ubatan dan insulin serta cara menyuntik insulin.

Peserta diberi nota ringkas, gula stevia, mecomin (ubat saraf) dan satu "pinggan sihat" kaca yang menerangkan jenis-jenis makanan dan porsinya sebagai ole-ole untuk dibawa pulang.

DM Terengganu berterima kasih kepada Puan Ramlah Ali, Pengarah Dietitian dan Sajian HSNZ yang bermurah hati menaja pinggan pinggan  ini dan sebuah syarikat yang menaja mecomin dan stevia.

Puan Ramlah juga menyemak senarai menu semasa berkursus dan memberi bilangan kalori kepada semua makanan dan minuman yang disediakan. Dengan cara ini adalah satu pendedahan yang baik untuk dipelajari oleh semua peserta.

Peserta juga dipecah dalam 4 kumpulan dan mereka pula memberi persembahan mengikut topik. Ini bertujuan untuk meninajau setakat mana pemahaman mereka tentang apa yang diajar. Kumpulan diadili oleh peserta dari kumpulan lain tanpa campur tangan penganjur. Kumpulan yang mendapat markah tertinggi diberi hadiah.

Kem ini juga membuat 3 kali saringan glukosa darah selama tiga hari. Pada malam di hari pertama, setelah disaring, didapati ramai yang merekod bacaan yang tinggi. Dari beberapa peserta yang merekod bacaan agak tinggi, penganjur memantau keadaan mereka. Pada keesokan dan sehari selepas itu (disaring sebelum sarapan) disaring lagi glukosa darah dan mereka yang  didapati dapat menurunkan glukosa dalam darahnya dengan kadar yang secara konsisten disenarai pendek. Individu yang paling jelas dapat menurunkan paras glukosa darahnya dan konsisten diistiharkan juara. Penurunan bacaan glukosa dipengaruhi oleh maklumat dibekalkan. Ini menunjukkan jika peserta faham dan ada disiplin untuk mengawal makan, glukosa darah akan dapat dikawal melalui makanan.

Setiap peserta juga diberikan sijil penyertaan. Peserta sangat berpuas hati kerana telah dapat memahami diabetes dan komplikasi dan cara mengawal dengan pendekatan yang holistik yakni dari pelbagai disiplin. Bukan senang untuk mengembelingkan pakar dari pelbagai disiplin untuk datang memberi taklimat. Justeru peserta kem ini memang sangat bertuah kerana dapat berinteraksi dengan mereka.

Pihak DM Cawangan Terengganu amat berterima kasih di atas kerjasama yang telah diberikan dan berharap semoga di masa depan, mereka dapat lagi memberi kerjasama. Kami juga berterima kasih kepada ketua-ketua Jabatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu kerana telah memberi kerja sama yang baik sekali kepada Diabetes Malaysia Cawangan Terengganu.

Kami menyeru kepada anda semua, sokonglah usaha Diabetes Malaysia di dalam memerangi diabetes, penyakit yang menjadi pembunuh secara senyap ini di mana pada tahun 2013 dianggarkan lebih dari 2.6 juta rakyat Malaysia telah mengidapnya dan berjuta yang lain sedang berada dalam peringkat (fasa)  pra-diabetes (tanpa mereka sedari).

Sokongan boleh diberi dalam bentuk menjadi ahli, menghadiri program dan aktiviti, menaja program, mempromosi dan menyebar maklumat kepada orang awam tentang bahaya diabetes, memberi derma kewangan kepada pertubuhan, atau menyediakan dana khas setiap tahun untuk memerangi diabetes bersama Diabetes Malaysia.

Berikut adalah gambar-gambar program tersebut:

Peserta dan AJK DM Terengganu

Kumpulan persembahan yang tertinggi markah diberi hadiah 

Perbincangan berkumpulan

Kuiz dan Revision

Taklimat oleh Dr Ahmad Tajuddin, pakar orthopedik



Peserta diberi pendedahan kepada mesin Anodyne yang boleh mengurangkan kebas-kebas

 En Zulkifli, Fisioterapis sedang memberi taklimat


Pn Maslina, dietitian menjawab soalan dari peserta

Senaman kecil-kecilan diadakan 

Demonstrasi Penjagaan Kaki oleh Pn Adibah

Pose kenangan: Wan Md Adnan, Wan Hassan, Dr Rasdi dan En Zulkifli

Dr Siti Mariam sedang memberi penerangan dan menjawab soalan peserta

Perbincangan peserta dengan pensyarah

Peserta lain sedang memerhatikan demonstrasi penjagaan kaki

Pengerusi DM  sedang memberi taklimat



Saringan glukosa darah, tekanan darah dan berat (BMI) diadakan kepada semua peserta

Penjualan kasut khas untuk pesakit diabetes. Mereka yang bukan pengidap diabetes juga membelinya

Penjualan produk diabetik  seperti susu dan peralatan juga mendapat sambutan

Sunday, December 1, 2013

Teknik Menyuntik Insulin


Baru baru ini saya sempat menghadiri taklimat ringkas dari Ms Siah dari Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur mengenai teknik suntikan insulin. Taklimat ini ialah sebahagian dari program "Workshop on Diabetes Prevention and Management"  anjuran Diabetes Malaysia pada 20-30 November 2013 di Hotel Summit USJ, Subang Jaya.

Dua perkara yang perlu dikenalpasti oleh pengidap diabetes iaitu di mana lokasi suntikan dan bagaimana menyuntiknya.

Terdapat beberapa lokasi suntikan seperti di lengan, punggung, paha dan abdomen sekitar pusat. Tempat-tempat ini didapati banyak kulit tebal bagi membolehkan suntikan dilakukan dengan selesa tanpa menusuk hingga ke otot.

Apabila anda melakukan suntikan, pastikan suntikan tidak ditempat yang sama setiap hari. Buat "rotation"/ pusingan. Pastikan jarum digunakan sekali sahaja dan selepas suntikan, jarum itu hendaklah dibuang. Ini kerana jika diguna berulang kali ia akan memberi kesan negatif kepada tempat suntikan kerana jarum itu telah tumpul.

Bulatan ini dibahagi empat dan setiap bahagian terdapat 7 lubang. Rajah ini digunakan jika pesakit memilih bahagian depan abdomen dekat pusat. Bayangkan lubang besar di tengah ialah kawasan pusat. Suntikan hari pertama pada lubang satu dan berpindah kepada lubang kedua dan seterusnya. Ini akan mengelakkan pesakit dari menyuntik di tempat yang sama.
Cuba perhatikan hujung jarum yang telah diguna  6x.....dia tidak tajam lagi malah boleh memberi kesan negatif kepada pesakit.

Anda boleh memilih jarum yang panjang tetapi yang lazim digunakan ialah jarum 4mm, 5-6 mm dan 8mm. Ia boleh disuntik secara 90 darjah atau 45 darjah. Kegagalan mematuhi cara atau teknik ini akan memberi implikasi antaranya ialah "Lipohypertrophy" di mana terdapat kumpulan tisu lemak di lapisan subcutineous kulit anda yang berbonjol, insulin tidak dapat menyerap dengan baik, pendarahan dan  gula yang tidak konsisten.





Mengenai insulin pula, jangan goncang sembarangan pen insulin itu. Cara yang baik ialah pegang pen itu dan hayun ke atas dan kebawah selama 20 kali secara perlahan. Ini akan membantu campuran ubat itu sekata.

Semoga dengan sedikit tip ini, pesakit diabetes dapat mempelajari teknik suntikan dan berharap agar suntikan itu berjaya, berkesan, dapat menstabilkan paras glukosa dalam darah secara konsisten.

Monday, November 25, 2013

Resepi Pilihan Sempena Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2013

Sempena Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2013, Unit Pemakanan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat Malaysia Terengganu (KEMAS) telah menyediakan demonstrasi masakan untuk dikongsi oleh yang hadir. Ianya bertempat di luang luar perpustakaan Terengganu di Kuala Terengganu pada 24 November 2013 bermula 2.00 petang hingga 4.00 petang.

Resepi yang dipilih ialah Nasi Oat, Ayam Jula Juli, Jus Buahan dan Salad 1 Malaysia. Berikut adalah resepinya. Selamat mencuba.



Ayam Jula Juli

Nasi Oat

Jus Buah Jambu

Salad

Chef-chef

Pegawai Pemakanan (nutrisi) Pejabat Kesihatan memberi taklimat
Sebahagian dari peserta yang hadir 
Program seperti ini hendaklah diperbanyakkan dan dihebahkan kepada masyarakat kita agar makanan kita mempunyai  nutrisi dan kalori yang diperlukan oleh badan kita.

Sunday, November 24, 2013

Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2013 Peringkat Negeri Terengganu

Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2013 peringkat Negeri Terengganu ( Cegah dan Kawal Diabetes: Lindungi Masa Depan Kita) disambut pada 24 November 2013 bertempat di Perpustakaan Negeri, Padang Hiliran, Kuala Terengganu dengan meriah sekali dengan aktiviti padat dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang. Ianya bertujuan memberi pendedahan dan pendidikan serta kesedaran terhadap komplikasi diabetes kepada masyarakat. Semua wakil pejabat kesihatan daerah dan hospital daerah seluruh negeri hadir. Orang awam dan pesakit diabetes juga dijemput hadir. Kehadiran mereka kali ini amat menggalakkan sehingga dewan utama penuh sesak hingga membanjiri keluar.

Aktiviti pertama dimulakan dengan bengkel interaktif mengenai Penjagaan Kaki oleh Dr Ahmad Tajuddin Abdullah (pakar orthopedic) dan Ketua Jururawat Adibah Idris dari HSNZ. Pelbagai isu mengenai komplikasi kaki akibat diabetes didedahkan. Pesakit dinasihat menjaga kaki dari segi kebersihan, sentiasa bersenam supaya badan berpeluh bagi memberi kulit pesakit tidak kering, memakai sepatu atau kasut yang sesuai (tidak muncong A dan tapak tinggi), sentiasa memakai sepatu atau selipar walaupun dalam rumah agar kaki tidak kesejukan atau terkena benda tajam yang akan mencederakan.

Dr Ahmad Tajudin menerangkan pasal penjagaan kaki

KJ Adibah memberi tip penjagaan kaki
Dr Azlin menasihat pesakit agar makan ubat ikut peraturan
Ianya diikuti oleh oleh taklimat mengenai ubat-ubatan dan cara mengambilnya oleh Dr. Azlin bt Amat. Menurut Dr Azlin, terdapat berbagai jenis ubat untuk pesakit dan yang baik sekali ialah suntikan insulin. tetapi persepsi pesakit tidak begitu gemar suntikan insulin ini.

Bengkel selama sejam ini dirasakan terlalu singkat masanya. Di masa depan, mungkin masanya boleh dipanjangkan.

Sejurus selepas bengkel, diadakan pula forum Diabetes dan Anda. Forum ini juga telah dikhaskan masa selama satu jam juga. Panel forum ialah Dr Balkis Abdul Karim, Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Terengganu dan Datin Dr Zil Falillah Mohd Said (Family Medicine Specialist) dari Klinik Kesihatan Paka. Manakala moderator forum ialah Hj Wan Hassan Wan Ismail, Setiausaha Diabetes Malaysia Cawangan Terengganu. Forum menyentuh tentang diabetes dan komplikasi serta cara mencegah dan mengawalnya.

Majlis Forum: Diabetes dan Anda

Peserta forum asyik mendengar ucapan ahli panel


Selepas forum berakhir, ada satu lagi aktiviti iaitu pengakuan seorang pesakit diabetes, Puan Rohani binti Hamzah dari Marang yang menceritakan bagaimana dia berjaya membuat sesuatu sehingga kakinya tidak jadi dipotong. Pesanannya kepada pesakit diabetes ialah jaga makan, ikut arahan doktor dalam mengambil ubat.

Majlis Sambutan ini juga dirasmikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, YB Tuan Hj Zubir Embong. Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Hj Mohd dan Pengerusi Diabetes Malaysia cawangan Terengganu, Hj Wan Md Adnan Wan Ismail.

Majlis Perasmian

Persembahan Dikir Barat "Diabetes"

Sementara itu, di ruang legar perpustakaan, diadakan saringan kesihatan, pameran, penjualan minuman stevia serta kasut diabetes dan buku berkaitan.

Saringan Kesihatan
Pameran Komplikasi Kaki oleh Diabetes Malaysia Terengganu

Penjualan Kasut sesuai untuk pesakit diabetes. 
Kopi dan coklat keluaran Eversweet juga mendapat tempat di kalangan hadirin

Pada petangnya, demonstrasi makanan sihat telah diadakan. Menu yang disediakan oleh chef dari Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) ialah Nasi Oat, Ayam Jula Juli, Jus dan salad 1 Malaysia. Semua yang hadir diberi peluang untuk merasa  makanan yang telah disediakan.

Pengerusi DM Cawangan Terengganu (baju biru) bersama chef-chef setelah selesai majlis demonstrasi
Bahan bahan untuk  membuat Salad 1 Malaysia
Pinggan Sihat
Setiap peserta bengkel diberi "pinggan sihat" special oleh penganjur majlis. Pinggan kaca ini memberi indikasi porsi makanan yang harus disukat dalam pinggan iaitu 1/2 terdiri dari sayur-sayuran, 1/4 karbo (nasi/ubi/roti) dan 1/4 lagi protein (ikan/ayam...).

Sambutan hari Diabetes Sedunia 2013 yang dianjurkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dengan kerjasama Diabetes Malaysia Cawangan Terengganu telah mencapai tujuannya iaitu  memberi kesedaran betapa bahayanya penyakit diabetes kepada pengidap dan orang awam. Komplikasinya teruk sekali dan anggota badan yang terlibat dari hujung rambut (kepala)  hingga ke hujung kaki. Kita berharap di masa depan lebih ramai lagi orang awam akan dijemput untuk menghadiri majlis ini.

Thursday, November 21, 2013

Wawancara Diabetes dengan Radio Terengganu FM

Diabetes Malaysia Cawangan Terengganu (DM) dan Radio Terengganu FM telah mengadakan wawancara khas mengenai diabetes dan komplikasi pada 21 November 2013 jam 8.30 pg -9.00 pagi di studio RTM Kuala Terengganu sempena Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2013 yang juga disambut seluruh dunia oleh 160 negara.

Diabetes Malaysia Cawangan Terengganu diwakili oleh Setiausahanya, Hj Wan Hassan Wan Ismail dan Dr Wan Mohd Razin Wan Hassan, pakar perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Wawancara dikendalikan oleh DJ Suhaila. Soalan dari DJ Suhaila adalah menyentuh tentang pertubuhan dan bilangan keahlian Diabetes Malaysia Terengganu, aktiviti dan program serta soalan asas seperti apa itu diabetes, tanda-tanda atau simptom, faktor risiko, bagaimana ia terjadi, apakah komplikasi dan cara-cara mencegah atau menanganinya dan lain-lain lagi.

Banyak yang hendak diperkatakan mengenai diabetes tetapi kekangan masa dalam 30 minit tidak banyak isu yang boleh dikupas. Namun pendedahan 30 minit sudah cukup untuk memberi kesedaran kepada pendengar tentang diabetes dan komplikasinya. Rasanya perlu wawancara seperti ini diperbanyakkan di masa depan bagi mendidik masyarakat mengenai penyakit yang banyak meragut jutaan nyawa di seluruh dunia secara senyap. Kita boleh menyentuh pelbagai aspek komplikasi dan cara menanganinya.

Diabetes Malaysia Cawangan Terengganu berterima kasih kepada Pengarah Penyiaran Terengganu (termasuk Kak Farah dan DJ Suhaila) di dalam usaha pertubuhan ini untuk mendekatkan diri dengan masyarakat umum dan memberi kesedaran tentang penyakit diabetes yang mana ramai yang tidak mengetahui yang mereka mengidap penyakit berbahaya ini.

Wan Hassan  di studio
DJ Suhaila dan Wan Hassan
Dr Wan Mohd Razin dan Wan Hassan
Diabetes Malaysia Cawangan Terengganu mempunyai banyak lagi program bersama Terengganu FM bagi memberi maklumat kepada masyarakat dan orang awam dari masa ke semasa. Doakan agar usaha murni ini dapat dilaksanakan dengan baik dan mendapat sambutan luar biasa dari orang awam.