Sunday, July 4, 2021

 Sejarah Persatuan Diabetes Terengganu

Diabetes Malaysia adalah sebuah persatuan ditubuhkan di Malaysia pada tahun 1981 dan didaftarkan mengikut Akta Pertubuhan 1966 pada tahun 1983 dengan nama Persatuan Diabetes Malaysia (PDM). Namun Cawangan Terengganu telah didaftarkan pada 22 Ogos 1994, selepas 11 tahun tertubuhnya PDM di peringkat pusat.

Nama persatuan ini telah ditukar kepada Diabetes Malaysia (DM) pada tahun 2013 setelah pihak International Diabetes Federation yang berpangkalan di Belgium telah mempopular nama ini untuk diterima pakai oleh persatuan  diabetes di seluruh dunia. 

Persatuan bukan kerajaan ini bertujuan untuk memberi maklumat dan pendidikan  kepada orang ramai mengenai diabetes. Persatuan ini bergerak dengan memberi taklimat, membuat health screening, kursus, bengkel, pameran dan sebagainya bagi memberi kesedaran kepada orang ramai betapa bahayanya penyakit ini. 

Sejak ditubuhkan di Terengganu, persatuan ini mempunyai ahli yang kebanyakannya terdiri dari warga hospital dan klinik kesihatan. Sebahagiannya telah membantu aktiviti persatuan ini di dalam membuat health screening. Jika dikumpulkan bilangan ahli persatuan, ia telah mencecah 2,000 ahli tetapi mereka tidak mengaktifkan keahliannya setiap tahun. Justeru, nama mereka akan tercicir dari daftar persatuan. Nama ahli diuruskan oleh ibu  pejabat di Petaling Jaya dan hanya boleh diakses oleh mereka yang diberi tugas untuk mendaftar keahlian. Keahlian seumur hidup hanya bayar sekali sahaja dan tidak perlu dibayar setiap tahun.

Diabetes Terengganu telah diterajui oleh pegawai perubatan, pesara kerajaan dan dibantu oleh mereka yang berminat. 

Berikut adalah Pengerusi Diabetes Malaysia Cawangan Terengganu:

1. Dato  Dr Tan Mong Hin (1995-1998)

2. Dr Suryati bt Adnan (1998-1999)

3. Dato Dr Abdul Razak Muttalif (1999/2000)

4. Dr Suryati bt Adnan (2000/2005)

5. Dr Fauzan bt Ghazali (2005/2010)

6. Dr Zaiha bt Harun (2010/2012)

7. Wan Md Adnan Wan Ismail (2012-kini)

Dengan kewangan terhad, DMCT mampu menggerakkan aktivitinya dengan baik seperti mengadakan health screening orang awam dan mengadakan seminar atau kursus berkait dengan pemakanan, senaman, risiko dan komplikasi diabetes. Persatuan juga mendapat kerjasama yang baik dari hospital dan klinik kesihatan dalam menjalankan aktivitinya. Sambutan Hari Diabetes Sedunia disambut setiap November setiap tahun. Persatuan mendapat kerjasama dari Radio Malaysia Terengganu dan Manis FM di dalam memberi sebaran maklumat mengenai diabetes melalui radio. Persatuan juga juga mendapat kerjasama dari doktor doktor pakar, pakar pemakanan, fisioterapis dan ahli farmasi yang dijemput untuk memberi syarahan kepada peserta bengkel yang persatuan adakan dari masa ke semasa.

Akhir sekali, adalah diharapkan persatuan ini dapat meneruskan aktivitinya dengan berkesan dari masa ke semasa.








No comments:

Post a Comment