Thursday, October 29, 2015

Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2015 di Terengganu

Hari Diabetes Sedunia disambut oleh 160 negara di seluruh dunia termasuk Malaysia. Kepentingan sambutan ini ialah untuk memberi kesedaran tentang diabetes dan komplikasi agar perkara negatif berkait dengan diabetes dapat dihindarkan. Ianya disambut pada 14 November setiap tahun.

Mengikut perangkaan yang dikeluarkan oleh International Diabetes Federation (IDF) yang berpengkalan di Brussels, pada tahun 2014 sahaja, seramai 400 juta menghidap diabetes jenis 2, melibatkan 5 juta kematian  dan kos rawatan melebihi USD600 billion.  Dijangka penghidap diabetes akan bertambah ke 600 juta orang pada tahun 2035.

Ini bermakna pertambahan 200 juta penghidap diabetes dalam masa 20 tahun akan datang. Ini menunjukkan trend yang kurang baik. Trend peningkatan pesakit diabetes seperti ini juga berlaku  di Malaysia. Untuk makluman dan perbandingan, Malaysia mempunyai 3.5 juta pesakit diabetes (16.1% dari jumlah penduduknya). Peratusan ini sangat tinggi berbanding dengan negara negara di  Asia Timur. Sebagai contoh, walaupun China mempunyai 96 juta pesakit tetapi ini merupakan 9.2% dari penduduknya.Begitu India, ia mempunyai 66 juta pesakit tetapi ia merupakan 8.6% daripada jumlah penduduknya. Malaysia telah menunjukkan peratusan yang tinggi.

Justeru, langkah pencegahan dan rawatan hendaklah dibuat dengan sebaik-baiknya dengan mengamalkan gaya hidup sihat iaitu makanan sihat dan senaman. Ini bermakna, pesakit hendaklah mengawal pemakanan iaitu makan makanan yang sihat sahaja dengan porsi yang betul atau sesuai dengan keperluan diri. Bagi yang belum menghidap juga, mereka hendaklah mengamalkan makanan sihat dan gaya hidup aktif.

Secara amnya, bagi menangani diabetes,  gaya hidup sihat hendaklah dipromosikan, menghad pengambilan kalori, meningkat aktiviti fizikal dan jika berkaitan, tukar komposisi diet. Ini juga bermakna profesion dietitian dan nutritionist, hendaklah digembeling untuk membantu memberi penerangan dan kesedaran terhadap pemakanan kepada masyarakat. Begitu juga celebrity chef dan media masa hendaklah turun padang memberi promosi makan sihat dan rendah kalori.

Sementara itu, kempen-kempen hendaklah dilakukan seperti kempen pemakanan sihat oleh pelbagai agensi, kempen kuruskan badan oleh badan-badan tertentu, menghadkan lesen kedai makan 24 jam kepada restoran tertentu sahaja oleh majlis bandaran (bagi mengelakkan makan di luar waktu), menggalakkan restoran dan kafetaria menukar cara masakan makanan dan beraleh kepada makanan bakar atau "bake in oven", singgang, kukus serta kurangkan atau hadkan menu bergoreng, serta menggalak masyarakat bersukan riadah bersama keluarga dengan mengurangkan fee di gymnasium, kolam renang, boling dan sebagainya.

Berbalik kepada tarikh sambutan, walaupun tarikhnya 14 November, tetapi tarikh sambutannya agak bebas. Di Terengganu, DMCT kali ini telah menyambut Hari Diabetes Sedunia pada 26 Oktober 2015 (awal sedikit dari yang lain) dengan kerjasama pihak Jabatan Kerja Raya, staf Hospital Sultanah Nur Zahirah dan Universiti UCSI, Marang. Saringan kesihatan diberi kepada 120 peserta yang hadir.


Majlis telah diadakan di Depot JKR Chendering, Kuala Terengganu  dari pagi hingga petang. Ia bermula di sebelah pagi, yang mana semua peserta disaring tekanan darah, glukosa darah dan Mass Body Index, seterusnya  taklimat diberikan mengenai kepentingan makanan sihat , kepentingan senaman secara regular, perkongsian apa itu diabetes dan komplikasi, jom kurus, pergerakan yang dapat turunkan berat badan dan sebagainya.

Berikut sebahagian gambar gambar yang sempat dirakamkan.

Beratur untuk saringan kesihatan

Saringan kesihatan oleh petugas

Sebahagian dari petugas yang terdiri dari DMCT staff yang juga bertugas dari hospital sultanah nur zahirah dan  Universiti UCSI, Marang.

Petugas dari JKR Pn Norizan dan Pn Rozita.

Peserta seronok mendengar ceramah

Pemeriksaan kesihatan 

Ceramah Kepentingan Senaman (Pn Ida Kartini  Othman, ahli fisioterapi ) dan Kepentingan Menjaga Pemakanan (Wan Hassan)

Acara senaman diadakan
Ceramah Diabetes dan komplikasi dan pengalaman pesakit oleh Hj Wan Md Adnan (Pengerusi DMCT)
Ceramah Pemakanan (Jom Kurus) oleh Dietitian (Ms Lua Lee Yein)
Berakhirlah sambutan hari diabetes sedunia dengan pekikan yeahhhhh.....

Kami dapati 10% dari mereka mempunyai berat badan berlebihan (obes). Walaupun ramai yang tidak mempunyai diabetes, namun ramai yang mengalami tekanan darah tinggi yang akan membawa kepada penyakit diabetes suatu masa kelak. Kami menasihatkan mereka segera ke klinik kesihatan bagi mendapat pengesahan dan rawatan.

Program sehari ini telah berjaya menerapkan kepentingan menjaga kesihatan ke atas diri masing-masing. Dari wajah mereka, mereka kelihatan ceria mendengar taklimat atau penerangan kami. Mereka ikut arahan kami apabila diarah berdiri semasa mereka kelihatan mengantuk atau tidak fokus.Program diselangseli dengan quiz dan hadiah. Ini yang menjadi mereka sentiasa bersiap sedia untuk ditanya. Apabila bergambar beramai-ramai diakhir program, mereka semua tanpa diarah telah berteriak yeayyyy menandakan  mereka berpuashati dengan program ini.Ini adalah satu maklumbalas kepada majikannya supaya diadakan program seperti ini tahun-tahun mendatang sebagai program wajib. Ini juga bermakna, peruntukan khas hendaklah disediakan.

Program ini dikendalikan oleh certified trainer, Hj. Wan Hassan Wan Ismail, penulis buku "Memahami Diabetes- panduan mengurus diabetes,tip dan kehidupan yang lebih sihat",  yang juga setiausaha DMCT.

Diabetes Malaysia Cawangan Terengganu (DMCT) ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam memberi kesedaran kesihatan kepada semua peserta. Moga usaha kecil DMCT ini diharapkan bukan saja dapat membantu peserta-peserta ini tetapi juga membantu meringankan beban para doktor dan pakar kesihatan di pusat pusat kesihatan dan hospital dalam menangani pelbagai masalah kesihatan di kalangan rakyat Malaysia.

Kepada peserta-peserta ini, DMCT  berharap mereka ini dapat mengubah gaya hidup mereka ke gaya hidup sihat dan aktif dengan menjaga pemakanan dan sentiasa bersenam. Sesungguhnya tindakan susulan yang positif bergantung kepada kesungguhan, mind set dan sikap mereka. Kami berdoa agar Allah swt memberi kekuatan kepada mereka, agar dapat menjalani gaya hidup sihat dan aktif. Aameen.

Akhirkata, kami ingin merakamkan rasa terima kasih kami kepada pejabat Jurutera JKR Daerah Kuala Terengganu kerana memberi kepercayaan kepada kami melaksanakan program ini untuk kali kedua; Pengarah Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu kerana melepaskan beberapa staffnya (juga ahli DMCT) untuk memberi ceramah diet, senaman serta menjalankan saringan kesihatan (sebenarnya Pengarah HSNZ tidak pernah menolak permintaan kami untuk melepaskan stafnya untuk program yang baik ini). Terima kasih  juga kepada Matron Aini dari UCSI dan pelajar-pelajar perubatannya yang datang membantu dan memeriahkan lagi saringan kesihatan. Tidak lupa juga ucapan terima kasih ditujukan kepada Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan barisan AJK yang memberi sokongan padu dalam menjayakan program ini.





No comments:

Post a Comment